Monday, October 6, 2008

Keluarga dan Masyarakat Islam

Konsep Kekeluargaan Islam

Menurut Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Kepentingan institusi ini jelas apabila Allah S.W.T. mengadakan undang-undang dalam urusan kekeluargaan yang disebut sebagai munakahat . Keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi individu yang baik kerana dari peribadi yang baik akan terbina keluarga yang baik, dari keluarga yang baik akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan mantap, seterusnya dari masyarakat yang berdisiplin akan tertegak negara yang cemerlang dan diredai oleh Allah S.W.T. Pembentukan keluarga juga penting untuk:

i. Mengekalkan kesinambungan generasi manusia kerana pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa kepada kehancuran sesebuah masyarakat,

ii. Memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan,

iii. Mencapai kebahagian, keharmonian, kebaikan, kasih sayang sesama manusia, kepuasan rohani serta jasmani,

iv. Membentuk umat yang kuat dan mantap kerana individu yang kukuh dan kuat dibentuk oleh ibu bapa, dan

v. Mencetus dan memupuk semangat pengorbanan, tolong-menolong, kerjasama dan perpaduan dalam jiwa setiap anggota keluarga.

Pembentukan Keluarga

Islam menetapkan perkahwinan sebagai asas pembentukan keluarga. Tujuan perkahwinan adalah untuk memperoleh zuriat, memelihara kehormatan diri, mencapai kegembiraan hati, ketenangan batin dan sebagai cara untuk menyalurkan naluri cinta. kasih sayang dan tuntutan batin yang menjadi fitrah semulajadi manusia yang Allah S.W.T. jadikan daripada lelaki dan wanita.

Hukum berkahwin

Harus: Ini hukum asal

Wajib: Bagi yang berkemampuan dan luapan nafsu syahwatnya begitu tinggi hingga boleh membawa ke lembah zina. Bagi yang tidak berkemampuan wajib ia berpuasa untuk menahan desakan nafsunya.

Sunat: Bagi mereka yang berhajat, cukup syarat dan berkemampuan

Haram: Bagi yang tidak cukup syarat, tidak berkemampuan dan tidak bertanggungjawab kerana dikhuatiri akan merosakkan rumah tangga dan masa depan isteri serta anak-anaknya.

Makruh: Bagi yang tidak berkemampuan member! nafkah, tetapi bakal isteri dengan rela hati sanggup menyara keluarga.

Pemilihan Jodoh

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua individu lelaki dan wanita melalui akad nikah dan ijab kabul. Islam menyarankan seseorang lelaki, dalam memilihjodohnya, diharuskan memilih berdasarkan empat ciri iaitu berharta, berketurunan baik, cantik dan beriman. Antara keempat-empat ciri di atas digalakkan mengutamakan perempuan yang beriman kerana hanya keimanan sahaja yang dapat menjamin kebahagian di dunia dan di akhirat.

Undang-undang kekeluargaan Islam telah menentukan mereka yang boleh dikahwini dan mereka yang tidak boleh. Mereka yang tidak boleh dikahwini adalah seperti berikut:-

Haram Abadi: Kerana pertalian keturunan seperti ayah, ibu dan anak

Haram Abadi: Kerana pertalian kekeluargaan seperti anak isteri, ibu isteri dan isteri anak

Haram Abadi: Kerana penyusuan seperti ibu susu dan saudara sesusu

Haram Sementara: Adik-beradik isteri. Apabila isteri meninggal, ini dibolehkan

Haram Sementara: Perempuan bukan Islam. Apabila memeluk Islam dibolehkan

Haram sementara: Perempuan dalam 'idah. Apabila habis 'idah, dibolehkan. ('Idah ialah tempoh rehat bagi wanita yang berpisah daripada suaminya sama ada hidup atau mati, sebelum ia dibolehkan berkahwin lain)

Tanggungjawab Suami Isteri

Hak Isteri

i. Memperoleh nafkah zahir dan batin daripada suami.

ii. Memperoleh pakaian dan tempat tinggal yang munasabah daripada suami.

iii. Memperoleh jaminan keselamatan dan kebajikan daripada suami.

iv. Memperoleh nasihat yang baik daripada suami.

v. Suami bertanggungjawab merahsiakan kecacatan isteri kepada orang lain.

vi. Suami wajar mengasihi keluarga isteri.

Hak Suami

i. Kepimpinan dan keketuaan dalam rumah tangga.

ii. Ketaatan dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

iii. Isteri juga bertanggungjawab merahsiakan kecacatan suami kepada orang lain.

iv. Layanan yang munasabah dan kasih sayang, termasuk zahir dan batin daripada isteri.

v. Isteri mesti menjaga maruah dan akhlak sama ada berada di hadapan ataupun di belakang suami.

iv. Meminta keizinan daripada suami sebelum keluar rumah.

Hak Bersama

i. Suami dan isteri sama-sama berhak menikmati kemanisan, kenikmatan dan kebahagiaan hidup berumah tangga.

ii. Suami dan isteri sama-sama bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

iii. Harta kedua-duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripada keduanya apabila berlaku kematian.

Tanggungjawab Bersama

i. Mendalami ilmu fardu ain.

ii. Selalu berbincang dalam segala hal untuk kebaikan bersama.

iii. Tolong-menolong dalam hal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran.

iv. Bersikap jujur dan menepati janji.

v. Saling memaafkan jika berlaku kesilapan dan menasihati.

vi. Digalakkan sembahyang berjemaah.

vii. Bertawakal kepada Allah S.W.T. setelah berusaha untuk mencapai kebahagiaan.

Tanggungjawab Keibubapaan

Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak

i. Berdoa ke hadrat Allah S.W.T. agar dikurniai anak yang soleh sebaik sahaja bernikah.

ii. Mengazankan anak lelaki dan mengqamatkan anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan.

iii. Memberikan nama yang baik kepada anak.

iv. Menyusukan anak sehingga berusia dua tahun.

v. Menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal yang munasabah.

vi. Mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh dan beriman.

vii. Memberi pendidikan yang sewajarnya.

viii. Memberi kasih sayang yang secukupnya dan bersikap adil terhadap anak-anak.

ix. Menguruskan perkahwinan mereka apabila sampai masa untuk berkahwin.

Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa

i. Mentaati ibu bapa dalam segala hal selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

ii. Menyahut seruan dan panggilan mereka dan segera hadir apabila diperlukan.

iii. Jangan meninggi suara apabila bercakap dengan kedua-duanya.

iv. Berdoa untuk kedua-duanya sama ada ketika hidup mahupun sesudah meninggal dunia.

v. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu bapa.

vi. Menyebut segala kebaikan ibu bapa dan melupakan segala kesilapan dan kekurangannya.

Konsep Kemasyarakatan Islam

Umum memahami bahawa masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam, tetapi realitinya masyarakat Islam ialah orang Islam yang hidup bersama-sama golongan bukan Islam dalam satu kelompok masyarakat. Masyarakat itu terlaksana melalui kehidupan yang berlandaskan nilai-nilai Islam.

Mendirikan sesebuah masyarakat yang melaksanakan nilai-nilai keislaman merupakan suatu kewajipan yang dibebankan ke atas bahu semua orang Islam. Masyarakat Islam yang pertama terbentuk ialah masyarakat yang didirikan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya di Madinah, sebaik sahaja Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masehi.

Umat Islam yang berada di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W. pada ketika itu telah melaksanakan tugas mendirikan masyarakat yang berlandaskan nilai-nilai Islam dengan cekal, gigih dan jujur sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh dan model bagai masyarakat manusia selepasnya.

Pembentukan masyarakat Islam telah digariskan mengikuti asas-asas Islam. Akhlak menjadi perkara asas yang perlu ditanam dan disuburkan dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Jatuh bangun sesebuah masyarakat bergantung sejauh mana akhlak dapat diterap dan dicerakinkan. Dengan asas akhlak, pembentukan peribadi yang menjadi tunggak masyarakat akan tercapai. Seseorang individu dalam masyarakat harus mempunyai akhlak yang mantap untuk membentuk sebuah masyarakat yang stabil. Peranan tempat ibadah juga merupakan asas kepada pem-bentukan sesebuah masyarakat. Islam memandang ibadah sebagai perkara penting dalam kehidupan manusia, oleh itu pembinaan tempat ibadah juga diberi penekanan dan diletakkan sebagai asas pembentukan masyarakat. Satu perkara yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan masyarakat ialah persaudaraan. Ikatan antara seseorang individu dengan individu yang lain adalah dengan persaudaraan. Setiap anggota masyarakat bersaudara dengan erti kata saling menolong dan bekerjasama dalam semua perkara. Asas-asas tersebut saling berkait dalam pembinaan sebuah masyarakat Islam.

Hak dan Tanggungjawab Anggota Masyarakat

Setiap individu berhak hidup dengan aman dan tenteram dalam sebuah masyarakat Islam. Seseorang tidak boleh dibunuh sewenang-wenangnya kecuali menurut peruntukan undang-undang. Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan bebas. Kebebasan setiap individu tidak boleh diceroboh oleh sesiapapun dengan sewenang-wenangnya. Maruah dan peribadi, nilai diri dan nama baik setiap ahli masyarakat tidak boleh dihina dan dicela sesuka hati.

Kebebasan berfikir, beragama dan melahirkan pendapat juga merupakan hak anggota masyarakat. Bebas berfikir untuk mencari kebenaran, bebas menolak serta menentang kezaliman dan bebas memilih agama yang ingin dianuti.

Konsep pemisahan kawasan berdasarkan warna kulit dan pegangan agama tidak wujud dalam Islam. Setiap individu bebas bergerak dan melakukan sebarang aktiviti yang bermanfaat tanpa batasan warna kulit atau pegangan agama. Dalam menentukan hak keadilan dan kehakiman, tidak ada perbezaan dan pengecualian dalam pelaksanaan undang-undang. Si tertuduh berhak membela dirinya.

Menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran merupakan hak bagi setiap anggota masyarakat yang diberikan Islam. Oleh itu hendaklah ada segolongan daripada masyarakat melaksanakan tugas menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran.

Perlindungan politik mestilah diberi kepada sesiapa sahaja yang teraniaya tanpa mengira bangsa, pegangan agama dan warna kulit. Hak melantik pemimpin adalah bebas. Masyarakat bebas memilih pemerintah yang dianggap layak.

Setiap individu berhak bekerja dan mengusahakan sesuatu untuk mencari rezeki dan kekayaan yang halal. Individu juga diberi hak menuntut ilmu, malah ia merupakan satu kewajipan bagi setiap individu. Begitu juga dalam hal membentuk keluarga.

Setiap anggota masyarakat harus membentuk keluarga dengan cara yang bermaruah kerana keluarga menjadi institusi terpenting dalam masyarakat.

Islam dan Masyarakat Berbilang Kaum

Ahli-ahli sains sosial menakrifkan masyarakat majmuk sebagai masyarakat berbilang bangsa, bahasa, kebudayaan dan agama. Biar apapun takrif dan analisis tentang masyarakat majmuk, ia menepati masyarakat Islam yang pertama wujud di Madinah. Masyarakat pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya, bahasa dan kelas. Islam mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengendalikan masyarakat majmuk.

Masyarakat beragama Islam wajib tunduk kepada semua peruntukan hukum Islam. Kewajipan ini ditentukan oleh dua faktor:-

i. Kewajipan terhadap Allah S.W.T. apabila ia mengumumkan Islam sebagai agamanya (tanggungjawab 'aqidah atau agama).

ii. Tanggungjawab kepada pemerintah yang mengambil sistem perundangan Islam sebagai dasar pemerintahan negara (tanggungjawab politik).

Kelompok ini mesti tunduk kepada hukum Islam seluruhnya sama ada undang-undang sivil ataupun agama, tidak kira apa mazhab yang ia anuti. Tidak ada kekebasan untuk memilih hukum-hukum yang lain daripada hukum Islam. Sementara masyarakat bukan Islam yang tinggal dengan aman di bawah penyeliaan hukum dan pemerintahan yang mengikut sistem Islam, ia bertanggungjawab untuk tunduk kepada undang-undang Islam kerana ia tertakluk kepada tanggungjawab politik, bukan tanggungjawab 'aqidah atau agama.

Penutup

Keluarga merupakan komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan seterusnya negara. Tanpa institusi keluarga, kewujudan masyarakat dan negara tidak akan sempurna. Oleh itu Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat yang bakal dibina. Sekiranya keluarga yang dibentuk itu beriman, maka akan lahirlah masyarakat yang beriman. Begitulah sebaliknya.

Ibu bapa dan anak-anak pula merupakan komponen keluarga yang bertanggungjawab mencorakkan sesebuah keluarga itu. Untuk memastikan setiap anggota menjalankan hak dan tanggungjawab, maka Allah S.W.T. menurunkan undang-undang kekeluargaan yang dipanggil mundkahat. Antara lain ia menyentuh segala hal yang berkaitan dengan kekeluargaan dan perkahwinan.

Sebuah masyarakat Islam yang beriman mampu menghadapi dan bersama-sama dengan masyarakat agama lain untuk membentuk sebuah negara yang aman, makmur, maju dan berakhlak. Ini dapat dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sewaktu Baginda membina masyarakat Islam pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi.